Saturday, February 25, 2012

Kisah Pasport Baru

Seperti mana kebiasaan seseorang mahu memulakan pengembaraan ke luar negara, antara perkara pertama yang harus diperiksa adalah pasport perjalanan. Seingat saya pernah memiliki pasport dan telah pun tamat tempoh. Tetapi untuk membuat pasport baru, pasport lama harus diserahkan kembali kepada Jabatan Imigresen untuk dibatalkan.

Ah, sudah! Saya tidak ingat di mana saya simpan pasport lama itu. Adakah sudah terbuang semasa mengemas barang untuk berpindah pada awal tahun lepas? Saya membelek kesemua dokumen penting di dalam simpanan. Oh, tidak nampak bayangan pun dokumen yang satu ini. Teruskan mencari, jangan putus asa!

Akhirnya, setelah berpeluh-peluh menyelongkar, saya menyimpulkan bahawa pasport lama itu hilang. Jadi, saya harus membuat laporan polis dahulu. Sama seperti yang dialami mertua saya dahulu ketika dia mahu membuat pasport baru. Aduh, leceh betul!

Jadi, di suatu tengahari (tidak ingat bila tarikhnya), saya pergi ke kedai gambar untuk mengambil gambar untuk pasport dan juga visa umrah. Rupanya gambar untuk visa ada pelbagai jenis. Visa umrah mesti berlatar belakang putih. Visa untuk ke UK lain pula. Barangkali mengikut kedutaan negara masing-masing. Barulah saya tahu. Saya ingat semuanya sama sahaja.

Gambar selesai diambil. Langkah pertama selesai.

Langkah kedua, buat laporan polis.

Saya mengambil cuti separuh hari untuk membuat laporan polis dan terus ke Jabatan Imigresen.

Sampai di IPD Sepang, saya diarahkan untuk pergi mendapatkan surat di unit siasatan di tingkat 2 sebelum boleh membuat laporan polis. Kena soal siasat ke pasport hilang ni? Alamak, bukan sengaja hilang pak!

Rupanya siasatan itu lebih kepada proses memaklum dan mendaftarkan dokumen pengenalan diri seperti pasport dan IC yang hilang. Saya ditanya soalan yang biasa ditanya ketika membuat laporan kehilangan dokumen. Selesai soal jawab, surat pun keluar.

Turun semula ke tingkat bawah untuk membuat laporan polis. Terus polis yang bertugas menyiapkan laporan itu tanpa banyak soal. Alhamdulillah!

Selesai di balai polis, saya segera ke Jabatan Imigresen di Kajang. Alhamdulillah orang tidak begitu ramai. Apabila saya menyerahkan borang permohonan, gambar dan laporan polis, pihak Imigresen memberitahu, laporan polis tidak diperlukan. Mereka hanya mencatatkan di belakang pasport berkenaan kehilangan. Aik? Kenapa lain pulak? Buang masa saja di Balai Polis! :)

Tidak mengapa, mungkin polisi sudah berubah. Tiada yang kekal di dunia ini. Lebih-lebih lagi apa yang dicipta manusia. Kadang kala, perubahan ini bagus. Ia memberi ruang untuk kita memperbaiki diri kepada yang lebih baik dan efisyen.

Saya kira pengurusan di Jabatan Imigresen sudah banyak berubah. Proses menjadi lebih cepat walau pun sebenarnya saya rasa, mereka boleh buat lebih laju lagi sekiranya mereka memotong masa berbual kosong dengan rakan di kaunter sebelah.

Dalam masa lebih kurang 3 jam, saya sudah berada di kaunter pengutipan. Tetapi ketika itu, masa sudah menghampiri jam 2 petang dan saya ada temujanji pada pukul 2. Saya bangun dan bertanya kepada kaunter pengutipan adakah saya boleh mengambil pasport saya esok hari.

Kata pegawai itu kepada saya sambil tersenyum, "Tak ada masalah Puan. Puan ada tempoh 1 bulan (kalau tak silap saya) untuk mengambilnya. Terus datang ke kaunter ini dan ambil nombor"

Saya kemudiannya bergegas keluar dan pergi ke parkir kereta. Sampai di kereta saya terfikir, mungkin lebih baik saya makan dahulu di sini alang-alang saya sudah ada di sini. Tak pelu lagi saya berhenti di mana-mana untuk makan.

Saya memilih restoren yang terdekat dengan kereta saya. Saya memesan bakso. Baksonya boleh tahan walau pun memang tak mampu langsung menandingi kesedapan bakso mama. Tetapi selesai makan, tekak saya perit. Oh, ini mesti kes ajinomoto sudah tertumpah ke dalam kuah bakso itu. Ok, restoren ini saya pangkah dari senarai restoren yang akan kunjungi lagi. Selesai!

Apa yang saya buat ketika menunggu selama 3 jam di Jabatan Imigresen itu?

Apa lagi, saya leka mengulit buku Think Like A Champion tulisan Donal Trump yang baru saya beli di Big Bad Wolf dengan hanya RM8.00 sahaja! Kedai buku Popular menjualnya dengan harga RM98.00 sahaja!

Wow! Jimat RM80.00? Memanglah berbaloi mengumpul buku di Big Bad Wolf.

Begitulah kisahnya saya dan pasport baru saya. Tidak ada apa-apa yang menarik pun. Biasa-biasa sahaja. Namun, ibrah yang dapat diambil adalah kita harus bersedia menerima apa juga yang akan datang ketika kita melalui apa jua proses. Kadang-kala kita merasa yang kita sudah cukup persediaan menghadapinya. Namun, realitinya bukanlah semudah itu.

Sejauh mana persediaan kita, sentiasa adakan ruang untuk menerima apa sahaja yang bakal mengejutkan atau di luar jangkaan. Hadapi dengan sabar dan jangan merungut. Senyum sahaja. Hidup ini memang seperti kita menyusur di suatu jalan yang panjang. Kita sangka jalan yang akan kita ambil lurus sahaja. Namun, sampai di suatu titik, kita pasti menemui selekoh, simpang dan jalan yang tidak rata.

Ambil yang positif sahaja. Teruskan perjalanan dan berdoa. Allah bersama dengan orang yang bersabar dan mengharap kepadaNya.

Apabila Allah bersama kita, tiada yang mustahil!

Thursday, February 23, 2012

Seperti Di Dalam Mimpi

Sudah bertahun-tahun lama saya menginginkan untuk menunaikan umrah di Mekah dan menziarahi Kota Madinah. Satu destinasi yang sepatutnya dilawati oleh setiap Muslim demi menyahut seruan Ilahi.

Umrah adalah sebahagian kecil kerja Haji. Sangkaan saya, umrah itu sunat. Rupanya ia adalah wajib untuk setiap Muslim yang berkemampuan, sama seperti Haji.

Allah menyatakan di dalam ayat 196, Surah al-Baqarah yang bermaksud:

             "Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah."

Ramai orang, seperti saya juga, beranggapan umrah itu sunat. Tidak perlu kita mengerjakan. Yang penting, kita kumpul duit untuk pergi Haji terus. Benar Haji itu wajib. Ia rukun Islam kelima. Namun, menurut para ulama', setiap Muslim wajib menunaikan kedua-duanya sekurang-kurang sekali seumur hidup.

Alhamdulillah tahun ini, nampaknya impian saya itu bakal menjadi kenyataan. Saya sebenarnya tidaklah begitu serius merancang untuk pergi umrah. Cuma kebetulan, tiba-tiba ada wang lebihan ketika saya mengajar sambilan tahun lepas. Itu rezeki namanya. Alhamdulillah.

Jadi, blog ini saya dedikasikan kepada perjalanan Umrah dan Ziarah sulung saya. Lebih manis lagi, kami berpeluang singgah ke Baitul Maqdis dan Jordan di dalam siri umrah dan ziarah kali ini.

Semoga Allah memberikan saya kekuatan dan masa untuk berkongsi pengalaman di dalam kembara ke tiga Kota Suci ini. Pengalaman ini mudah-mudahan dapat memberi manfaat kepada siapa sahaja yang belum menjejakkan kaki ke sana. Juga untuk bertukar-tukar kepada yang telah berpengalaman ke sana.

Wallahu A'lam.