Sudah bertahun-tahun lama saya menginginkan untuk menunaikan umrah di Mekah dan menziarahi Kota Madinah. Satu destinasi yang sepatutnya dilawati oleh setiap Muslim demi menyahut seruan Ilahi.
Umrah adalah sebahagian kecil kerja Haji. Sangkaan saya, umrah itu sunat. Rupanya ia adalah wajib untuk setiap Muslim yang berkemampuan, sama seperti Haji.
Allah menyatakan di dalam ayat 196, Surah al-Baqarah yang bermaksud:
"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah."
Ramai orang, seperti saya juga, beranggapan umrah itu sunat. Tidak perlu kita mengerjakan. Yang penting, kita kumpul duit untuk pergi Haji terus. Benar Haji itu wajib. Ia rukun Islam kelima. Namun, menurut para ulama', setiap Muslim wajib menunaikan kedua-duanya sekurang-kurang sekali seumur hidup.
Alhamdulillah tahun ini, nampaknya impian saya itu bakal menjadi kenyataan. Saya sebenarnya tidaklah begitu serius merancang untuk pergi umrah. Cuma kebetulan, tiba-tiba ada wang lebihan ketika saya mengajar sambilan tahun lepas. Itu rezeki namanya. Alhamdulillah.
Jadi, blog ini saya dedikasikan kepada perjalanan Umrah dan Ziarah sulung saya. Lebih manis lagi, kami berpeluang singgah ke Baitul Maqdis dan Jordan di dalam siri umrah dan ziarah kali ini.
Semoga Allah memberikan saya kekuatan dan masa untuk berkongsi pengalaman di dalam kembara ke tiga Kota Suci ini. Pengalaman ini mudah-mudahan dapat memberi manfaat kepada siapa sahaja yang belum menjejakkan kaki ke sana. Juga untuk bertukar-tukar kepada yang telah berpengalaman ke sana.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment